Faculty of Computer Science and Mathematics

Lawatan pelajar ENTECH ke Lynas Corporation

 

Oleh: Dr Nurul Adyani Binti Ghazali

Lawatan ilmiah pelajar -pelajar dari Kelab Entech ke Lynas Corporation telah dijalankan pada 26 Mac 2012. Seramai 79 orang pelajar beserta 6 orang staf akademik telah menyertai lawatan ini.  Setibanya di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan pada jam 1.00 petang, ketibaan rombongan disambut oleh CIK NURL IZZAH selaku Jurutera Alam Sekitar di loji pemprosesan berkenaan. Penerangan telah diberikan mengenai LYNAS Corporation, sebuah syarikat korporat yang disenaraikan di bursa saham Australia (ASE) yang terlibat secara khusus dengan aktiviti perlombongan bahan nadir bumi (rare earth oxide) dan pemprosesan bahan tersebut. Pegawai kimia syarikat memberi penerangan mengenai bahan nadir bumi serta penggunaan bahan tersebut dalam teknologi elektrik dan elektronik  yang digunakan masa kini. Beliau turut menerangkan sistem pemprosesan yang dijalankan di loji tersebut, akta dan undang-undang yang digunapakai dan sisa yang terhasil. Sisa ini dirawat dengan teknologi yang efektif sekaligus mampu mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar secara khususnya dan produk yang dihasilkan dari sisa tersebut. Sisa ini digunakan sebagai salah satu bahan mentah bagi penghasilan simen dan bahan gentian bagi produk kayu serta baja untuk tanaman kontan komersial. En. Aradzmi selaku Pegawai Penyelidik telah memberi penerangan secara terperinci mengenai spekulasi yang dilontarkan pelbagai pihak khususnya yang bersifat politik tentang pembinaan loji pemprosesan LYNAS (LAMPS) di Gebeng, Kuantan yang dikaitkan dengan isu radiasi yang dibebaskan dari loji tersebut. Beliau turut menyenaraikan soalan-soalan yang bersifat prejudis terhadap hal ini dan menerangkan situasi sebenar yang berlaku sekaligus menjawab segala persoalan mengenai isu yang dikaitkan dengan LYNAS. Kemudian kumpulan lawatan dibawa ke tapak loji pemprosesan LYNAS atau LYNAS Advanced Material Prosessing Site (LAMPS).

Lawatan kemudian dibawa ke tapak loji pemprosesan bahan nadir bumi LYNAS pada jam 2.00 petang, sejurus selepas sesi taklimat dan soal jawab dan ketibaan rombongan disambut oleh jurutera alam sekitar. Di sana, kami diberi penerangan mengenai tapak loji pemprosesan bahan nadir bumi LYNAS (LAMPS) secara lebih terperinci. Dengan menaiki bas, rombongan dibawa melawat hampir keseluruhan kawasan tapak loji berkenaan yang   masih dalam pembinaan namun bahagian pentadbiran, gudang penyimpanan bahan nadir bumi dan bahan kimia, bahagian pemprosesan dan penghasilan serta loji rawatan air dan sisa telah pun siap dibina dan telah beroperasi. Loji ini dijangkakan beroperasi sepenuhnya penghujung bulan April 2012. Penggunaan teknologi terkini diintegrasikan ke dalam hampir semua proses yang dijalankan di loji ini, memastikan pematuhan terhadap akta perlindungan alam sekitar bagi mengelakkan berlakunya pencemaran dari aktiviti tersebut.

Lawatan ke LYNAS Corporation di Gebeng, Kuantan, Pahang telah memberi banyak manfaat dan pengetahuan yang baru kepada para pelajar Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) mengenai kepentingan, jenis dan pemprosesan bahan nadir bumi di dalam industri ini. Pelajar mendapat gambaran yang lebih jelas daripada sumber ianya diperolehi sehingga ianya di proses untuk menjadi sesuatu yang bukan sahaja sebagai suatu tenaga tetapi juga menjadi suatu bahan yang boleh di guna pakai di dalam peralatan seharian manusia.

Ketibaan para pelajar ENTECH
Sesi taklimat
Sesi soal jawab
Lawatan ke kilang LYNAS
Share the Post:

Artikel Berkaitan