Faculty of Computer Science and Mathematics

Program Mobiliti Antarabangsa M.E.L.A.T.I. 2026 Perkukuh Pertukaran Budaya dan Pembelajaran Global

Dr. Wan Nuraini Fahana Wan Nasir

Kuala Nerus, 16 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menganjurkan program Multicultural Exchange for Learning and Unity International (M.E.L.A.T.I.) 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 16 Ogos 2026 dengan penyertaan pelajar dan wakil universiti dari dalam dan luar negara. Program ini bertujuan memperkukuh persefahaman antara budaya, memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan pengalaman pembelajaran global dalam kalangan peserta.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan, kebudayaan dan khidmat komuniti. Antara pengisian utama termasuk lawatan ke galeri penyelidikan UMT, perpustakaan universiti, studio e-pembelajaran serta sesi interaksi bersama wakil institusi pengajian tinggi yang terlibat.

Peserta turut berpeluang meneroka warisan dan budaya Negeri Terengganu melalui lawatan ke Kampung Budaya Terengganu, Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang. Aktiviti ini memberikan pendedahan secara langsung mengenai sejarah, seni bina tradisional, makanan tempatan dan identiti budaya masyarakat setempat.

Selain itu, program turut menampilkan elemen pemerkasaan komuniti menerusi sesi pertukaran ilmu bersama pensyarah dari Indonesia dan komuniti tempatan yang membincangkan isu pembangunan sosial, keusahawanan dan pemberdayaan komuniti. Aktiviti ini membuka ruang perkongsian pengalaman serta amalan terbaik antara peserta dari pelbagai latar belakang budaya.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan, peserta mengikuti ekspedisi marin ke Pulau Bidong dan Stesen Penyelidikan Penyu Chagar Hutang. Mereka didedahkan kepada usaha pemuliharaan penyu, biodiversiti marin dan peranan UMT dalam penyelidikan serta pemeliharaan ekosistem laut.

Program diakhiri dengan pembentangan projek kreatif berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merumuskan pengalaman dan pembelajaran peserta sepanjang program. Majlis Penutupan M.E.L.A.T.I. 2026 menyaksikan penyampaian hadiah dan penghargaan kepada peserta sebelum mereka berangkat pulang dengan kenangan, pengalaman serta jaringan persahabatan antarabangsa yang bermakna.

Penganjuran M.E.L.A.T.I. 2026 membuktikan komitmen UMT dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti melalui platform yang menggalakkan pembelajaran rentas budaya, kolaborasi global dan pembentukan warga dunia yang berdaya saing serta berfikiran inklusif.

Share the Post:

Artikel Berkaitan