KUALA NERUS, 28 Oktober 2026 – Program Bursa Tunas Labur 2026 telah berjaya dilaksanakan di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan penyertaan seramai 185 orang mahasiswa Tahun 1 hingga Tahun 3 daripada Program Sarjana Muda Matematik Kewangan dengan Kepujian.
Program anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama UMT ini bertujuan memperkasakan pengetahuan dan kesedaran mahasiswa mengenai pelaburan patuh Syariah melalui perkongsian ilmu dan pendedahan praktikal. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Program Matematik Kewangan yang mewakili Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM).
Antara pengisian utama program ialah perkongsian mengenai konsep pelaburan patuh Syariah serta pelaburan saham dan emas patuh Syariah yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Mohd Asri Ahmad, Pengasas Asri Ahmad Academy dan remisier CGS International Securities Malaysia. Program ini turut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pendaftaran akaun Bursa Gold Dinar serta pembukaan akaun pelaburan dan akaun CDS.
Kelancaran program turut dibantu oleh 10 orang urus setia pelajar di bawah skim MySiswa@JOC yang memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar.
Penganjuran ini merupakan kerjasama kali ketiga antara UMT dan Bursa Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh literasi kewangan dan melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan serta mampu membuat keputusan pelaburan yang bijak dan beretika.
Diharapkan kerjasama strategik ini dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif pada masa hadapan bagi memperluas pendedahan mahasiswa kepada dunia pelaburan dan kewangan patuh Syariah.





