Seramai 15 mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dari program Sarjana Muda Sains Matematik Gunaan, Matematik Kewangan dan Analitik Data Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah turun padang ke SK Wakaf Tapai, sekolah angkat rasmi FSKM, bagi menjayakan “Program Bimbingan Akademik Tahun 4 dan 5” hari ini (11 November 2025).
Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif kursus Santuni Komuniti yang memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu sambil berbakti kepada masyarakat.
Turut hadir mengiringi para mahasiswa ialah empat pensyarah FSKM, PM Dr. Shalela Mohd Mahali, PM Dr. Nur Aidya Hanum Aizam, Dr. Muhammad Hilmi Majid, dan Dr. Binyamin Yusoff, tiga daripadanya merupakan alumni Matematik UMT. Menariknya, GPK SK Wakaf Tapai, Puan Bidayatul Huda, juga merupakan alumni Sarjana Muda Sains Matematik Kewangan, UMT!. Program ini sekaligus menjadi medan kerjasama antara alumni, universiti dan masyarakat.
Aktiviti hari ini dimulakan dengan sesi ice-breaking dan permainan Matematik interaktif yang menceriakan suasana antara mahasiswa dan murid-murid Tahun 4 dan 5.
Program ini bukan sekadar lawatan yang bersifat sekali lalu, sebaliknya, sesi bimbingan akademik akan diteruskan secara berjadual sehingga tamat semester ini.
Tahniah kepada semua yang terlibat! terutamanya kumpulan pelajar tahun 2 ini yang kebanyakannya baru pertama kali menganjurkan program sebegini. Terima kasih juga kepada pihak sekolah SK Wakaf Tapai, khasnya Guru Besar Tuan Hj Rosdi dan barisan guru-guru yang menyambut mesra kehadiran kami. Semoga 20 anak-anak yang dibimbing ini akan terus cemerlang.


