Faculty of Computer Science and Mathematics

Pelajar Matematik UMT Ungguli Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa

Sekumpulan pelajar Program Matematik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan bahawa bidang matematik bukan sekadar berkisar pada nombor dan formula, malah mampu mencipta impak besar dalam dunia inovasi. Mereka telah mencatat pencapaian membanggakan di 2nd International Education Innovation Competition (2nd Edu@Innovate) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pasukan pertama, dengan projek bertajuk “Math Workshop: Living in Society” yang diketuai oleh Nurdini Kirana Binti Hakimi, bersama ahli kumpulan Muhammad Afham Saipulismi, Muhammad Aiqal, Muhammad Faris Zharfan Zukifli, dan Zachary Aaqil Azlan Christopher—semuanya pelajar Matematik—telah merangkul Anugerah Emas, dinobatkan sebagai Best of Gold (Kategori C) serta menerima Anugerah Khas: Pakej Sokongan Pengkomersialan Bernilai RM5,000.

Pasukan kedua, melalui projek “International Math Aid+ Scholar”, diketuai oleh Muhammad Afham Saipulismi, turut disertai oleh Nurdini Kirana Binti Hakimi, Megat Muhammad Daniel Azlinzal, Muhammad Darwisy Azizor, dan Muhammad Mu’az Muhammad—juga dari Program Matematik—turut berjaya membawa pulang Anugerah Emas.

Kedua-dua pasukan dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Nazri Husin, pensyarah Program Matematik UMT, yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan membimbing pelajar ke arah kecemerlangan dalam inovasi pendidikan.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelajar Matematik juga mampu menerajui bidang inovasi dan bersaing di pentas antarabangsa dengan penuh yakin dan berdaya saing.

 

Share the Post:

Artikel Berkaitan