Faculty of Computer Science and Mathematics

Program Pemindahan Ilmu: Bengkel Asas Mikrobiologi Projek Ilmiah Tahun Akhir

Disediakan oleh: Dr Wan Rafizah Wan Abdullah, PPKK

Bengkel Asas Mikrobiologi Projek Ilmiah Tahun Akhir telah diadakan dengan jayanya pada 30 Januari 2018 bertempat di Makmal Mikrobiologi, Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA), UMT. Program yang tercetus hasil kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Asas, UMT ini merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam Siri Kaedah Penyelidikan di bawah Penyelaras Projek Ilmiah Tahun Akhir, Program Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) Sesi 2017/2018 dan program pemindahan ilmu antara pusat pengajian. Penceramah jemputan untuk bengkel ini adalah Dr Azila Adnan, Pensyarah dari PPSA manakala taklimat keselamatan serta demonstrasi amali dikendalikan oleh Cik Norazlina Binti Abdul Aziz, Pegawai Sains Kanan, PPSA dan dibantu oleh Puan Mahidawati Mamat, Pembantu Makmal, PPSA.

Penganjuran bengkel kali ini telah menarik penyertaan seramai 30 orang yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar), pelajar siswazah PPKK, kakitangan akademik serta staf makmal. Hasil daripada pelaksanaan program ini, para peserta yang terlibat telah mendapat pendedahan berkenaan teori serta teknik-teknik analisis mikrobiologi. Selain itu, peserta juga telah diberi taklimat berkenaan aspek biokeselamatan, garispanduan pengendalian serta kaedah pelupusan spesimen yang selamat dan beretika. Peserta telah berpeluang mengikuti sesi amali prosedur pewarnaan gram, ujian antimikrob, pengiraan sel dan pengiraan plat piawai. Sesi ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk mendapat pengalaman secara langsung menyediakan spesimen mengikut kaedah aseptik yang tepat dan menganalisis hasil dapatan daripada ujian yang dijalankan. Rata-rata peserta yang telah hadir teruja kerana berpeluang untuk mempelajari ilmu dan kemahiran baru.

Pelaksanaan bengkel ini diharap akan dapat menggalakkan pemindahan ilmu di antara pusat pengajian disamping meningkatkan kemahiran penyelidikan dikalangan pelajar tahun akhir SMT (Alam Sekitar) yang sedang menjalankan projek ilmiah tahun akhir bagi sesi 2017/2018.

Cik Norazlina dan Puan Mahidawati menunjukkan cara penyediaan spesimen secara kaedah aseptik kepada peserta semasa sesi amali
Peserta menggunakan mikroskop untuk melihat imej mikrob yang telah melalui proses pewarnaan gram
Dr Wan Rafizah sedang meletakkan sampel ke dalam plat agar
Dr. Wan Rafizah sedang menjalani ujian antimikrob
Sesi fotografi peserta bersama penceramah dan fasilitator Bengkel Asas Mikrobiologi Projek Ilmiah Tahun Akhir
Share the Post:

Artikel Berkaitan