UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU MENGANJURKAN AWIST 2024: MEMACU PERKONGSIAN INOVASI KE ARAH TEKNOLOGI LESTARI
Oleh: Wiwied Virgiyanti dan Sharifah Mashita Syed-Mohamad
Fakulti Sains Komputer dan Matematik
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbesar hati menjadi tuan rumah bagi Bengkel Persidangan Sains Maklumat dan Teknologi ke-12 ASEAN (ASEAN Workshop on Information Science and Technology – AWIST 2024) yang berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos 2024. Dianjurkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), acara ini menarik minat sarjana dan penyelidik terkemuka yang berkumpul untuk meneroka tema “Sustainable Technology Innovations for Environmental Wellness” (Inovasi Teknologi Lestari untuk Kesejahteraan Alam Sekitar).
Persidangan ini dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Bin Ibrahim, yang menekankan kepentingan kerjasama global dalam ucapannya. Para hadirin turut dipersembahkan dengan demonstrasi usaha pemeliharaan penyu oleh UMT, termasuk amalan pemindahan telur penyu, bersama dengan persembahan seni mempertahankan diri tradisional oleh seorang pelajar UMT, yang memberikan sentuhan budaya yang unik pada majlis tersebut. Dekan FSKM, Profesor Ts. Dr. Suzuri Bin Hitam, juga menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menghadapi cabaran alam sekitar global.
Dalam kolaborasi dengan Japan Advanced Institute of Science and Technology (JAIST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM), AWIST 2024 telah menerima penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Jepun, dan Uzbekistan. Acara ini turut disokong oleh penaja Jasa Perkasa Security Sdn Bhd dan Micro Ocean Enterprise, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan kejayaan acara ini.
AWIST 2024 menampilkan barisan penceramah terkemuka yang berkongsi kepakaran mereka mengenai isu-isu kritikal berkaitan teknologi lestari. Dua penceramah utama, bersama tiga penceramah jemputan, membuka sidang dengan penyampaian yang merangsang pemikiran. Sesi selari hibrid membolehkan peserta membentangkan kertas kerja mereka serta terlibat dalam perbincangan mendalam mengenai pelbagai topik berkaitan teknologi lestari, menyediakan peluang kepada penyelidik untuk berkongsi penemuan dan menerima maklum balas dari khalayak global.
Tahun ini, UMT dengan bangga mencatatkan pencapaian penting dengan menaikkan status AWIST menjadi sebuah persidangan. Sebelum ini, AWIST adalah bertaraf bengkel bagi penyelidik dan saintis untuk berhubung dan membincangkan kerjasama dengan rakan utama seperti JAIST, UKM, dan UNIKOM. Pencapaian ini mencerminkan usaha gigih pasukan UMT dalam menganjurkan bengkel persidangan yang berjaya menerima 36 artikel untuk diterbitkan dalam Journal of Mathematical Sciences and Informatics (JMSI) UMT dan Asia-Pacific Journal of Information Technology and Multimedia (APJITM) UKM. Pencapaian ini telah menjadikan AWIST sebagai platform yang lebih besar dengan impak yang signifikan dalam komuniti akademik. Peserta datang dari pelbagai universiti seperti UMT, UNIKOM, UKM, USM, JAIST, UMPSA, Universiti Antarabangsa INTI, dan Universiti Negeri Samarkand (Uzbekistan).
Dalam aktiviti luar persidangan, para peserta berpeluang menikmati keindahan semula jadi Malaysia melalui lawatan ekslusif ke Pulau Redang. Sebagai sebahagian daripada tradisi AWIST, sesi Meja Bulat telah diadakan di pulau ini, membolehkan perbincangan idea dalam suasana yang santai tetapi produktif. Acara ini menyaksikan penyerahan baton simbolik kepada Profesor Hiroyuki Iida dari JAIST, sebagai tanda JAIST akan menjadi tuan rumah bagi AWIST 2025.
Kejayaan AWIST 2024 ke-12 di UMT merupakan bukti komitmen universiti untuk memajukan penyelidikan dan menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi lestari. Pada penghujung konferensi ini, para peserta menyatakan rasa teruja untuk meneruskan usaha yang dimulakan di AWIST 2024 dan menantikan peluang kerjasama masa depan untuk penyelesaian inovatif bagi kesejahteraan alam sekitar. UMT berbangga menjadi tuan rumah bagi acara penting ini dan terus komited dalam menyumbang kepada usaha pembangunan lestari global.
Penganjuran AWIST berikutnya pada tahun 2025 akan dihoskan oleh JAIST, meneruskan tradisi memajukan penyelidikan serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi lestari.